Friday, May 22, 2009



Maafkan saya jika sindiran ini berbaur penghinaan. Tiada siapa yang ditindas disini. Namun ini adalah hakikat yang anda dan mereka harus terima. Ia berkenaan mereka-mereka yang mendapat anugerah dekan untuk setiap sem. Tidak perlu saya sebutkan nama-nama mereka yang dianggap mabuk ini. Bahasanya mudah, jangan ‘ada hok terasa’ sudahlah! Ya ceritanya di UniKL Lumut, Perak. Kenapa disini? Kerana ini tempat saya belajar bersama mereka-mereka yang mabuk ini. Tidak dapat dipastikan jika kolej anda yg lain mempunyai pemabuk-pemabuk darat ini. Tapi ini apa yang saya lihat. Sedikitpun tidak ditokok tambah apatah lagi diselitkan unsur fitnah. Tidak perlu saya mengangkat sumpah untuk memastikan ini cerita benar atau palsu.

Setiap semester, wajib adanya hari penyampaian anugerah dekan kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang – 3.5 keatas biasanya. Nampak seperti mereka ini yang terbaik dikalangan yang lain. Berdiri dipentas, menerima penghargaan, dan melontarkan senyuman-senyuman manis. Banyak lensa tertumpu kepada pelajar-pelajar yang dilihat berjaya pada mata kasar ini. Itu apa yang mereka nampak. Bagaimana cerita sebaliknya?

Untuk mendapatkan DL ini tidak mudah saudara jika tidak belajar dangan secukupnya. Ramai yang tidak mencapai keputusan ini, kerana kurang berusaha. Tidak mengulangkaji dangan mencukupi. Soalnya mereka yang mendapat DL ini, belajarkah mereka? Sejauh mana tepatnya keputusan Universiti memberi anugerah ini pada mereka? Saya juga berada didalam kelas yang mereka duduki, dan diasrama sama yang mereka tinggal. Ternyata anugerah yang mereka pegang hanyalah dusta semata-mata! Anda boleh pastikan hal ini jika anda selalu bersama mereka. Teliti tingkah laku mereka terutama di waktu kuiz dan test. Ketika pensyarah sedikit leka di hadapan, mereka menyelongkar buku-buku rujukan dan nota di bawah meja seperti biawak yang terkais-kais mencari telur. Mereka ini juga kelihatan tergesa-gesa ke kelas waktu kuiz dan test dijalankan. Kenapa? Untuk mendapatkan tempat-tempat belakang yang terlindung dari pandangan pensyarah – juga dianggap ‘port baik’ untuk meniru. Dengan membawa ‘toyol’ bersama, tidak sukar bagi mereka mendapatkan markah penuh.

Ada pula diantara mereka yang sentiasa berada disisi pelajar terbaik. Amat bangga bagi pelajar ini apabila dapat meniru jawapan dari pelajar terbaik tersebut. Hampir setiap masa didalam kelas, si budak hingusan ini berada disisi pelajar terbaik tersebut. Samada memilih kumpulan, membuat presentation dan waktu quiz dan test. Saya tidak pasti pelajar barua ini dari golongan bangsa mana. Adakah tergolong dalam mereka yang pakar menyamar, atau si bangsat yang sentiasa inginkan namanya dipuji-puji. Tidak juga saya dapat pastikan pelajar ini mudah diheret kemana-mana oleh pelajar terbaik tersebut. Kerana segala jawapan yang ditulis oleh pelajar terbaik itu, akan ditirunya. Lantas mereka ini boleh saya tafsirkan sebagai manusia yang amat bodoh. Mereka hadir ke kelas setiap masa, mempunyai nota yang tebal, dan tidak pernah gagal dalam bergaya (berlagak pandai). Haprak sungguh mereka ini. Kalau benar mereka pandai kenapa perlu tiru? Jelasnya mereka amat hina. Jika begini keadaanya di waktu kuiz dan test, lebih baik anda tidak perlu kelas, cukup sekadar berada di dalam bilik melayani Myspace, Ym, dan drama-drama Korea.

Lihat pula ketika mendapat tugasan dari pensyarah, atau assignment, ada pula kalangan-kalanga mereka sekadar meniru. Copy dan paste bagi mereka sudah memadai jika di ubah-ubah. Sudahlah begitu, ada pula dikalangan mereka ini memandang rendah kepada pelajar yang tidak mendapat DL. Wah, sungguh kurang ajar anak-anak muda ini. Apa tindakan saya? Tidak, saya tidak perlu mengambil tindakan. Barangkali saya tidak mempunyai bukti. Juga malas untuk melapor kerana bagi saya biar mereka ini terus dimabukkan dengan ‘arak DL’. Berapa banyak anda mahu ambil. Bak kata pepatah, biarlah luncai terjun bersama labunya.

Apapun, mereka masih lagi berperilaku sebagai seorang manusia. Saya anggap itu sudah cukup untuk kita meneruskan persahabatan dengan mereka. Biarlah mereka mabuk, dengan syarat tidak bersikap memabukkan. Jika tidak nanti mereka dilabel haram pula. Mungkin ada yang mendapatkan DL secara sah, namun pemabuk-pemabuk DL tetap wujud, dan akan terus wujud tanpa pemantauan pensyarah. Amat tidak adil bagi mereka yang ditangkap meniru, sedangkan ramai lagi dibelakang sana yang meniru. Alangkah lebih mudah jika si pensyarah lalai itu untuk memberi lampu hijau atau ‘open book’ ketika test dan kuiz. Sekurang-kurangnya tiada siapa yang gagal.

Tapi tak mengapalah, mereka merasakan mereka punyai hak dan saya tidak pernah terfikir merampas hak mereka itu. Cuma tidak perlu terlalu bongkak ketika mendapat anugerah itu, jangan juga memperlekeh orang lain. Kerana anda amat hina sekali. Maafkan saya kerana mengulangi perkataan hina beberapa kali. Teruskan perjuangan anda. Semoga apa yang baik itu dijadikan tauladan dan yang buruk itu dijadikan sempadan.


Oleh:-

Muhammad Amsyar bin Hussain Alaauddin